Ibu penjaja belon buat laporan, lima individu dirakam keterangan – Polis

PETALING JAYA: Polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung insiden peniaga belon didakwa dikasari penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat ini keterangan melibatkan empat penguatkuasa DBKL dan juga penjaja belon terbabit.

“Ibu kepada peniaga itu telah membuat laporan pada tengah malam tadi dan kini polis hanya jalankan proses rakaman lima individu yang berada di tempat kejadian.

“Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas susulan laporan daripada DBKL,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Sulizmie, polis kini sedang melengkapkan siasatan dengan mengambil keterangan saksi bebas termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Sulizmie juga menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

Sejak semalam, tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan TAR.

DBKL memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran sebanyak kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguatkuasa DBKL.

Bagaimanapun, penjaja belon dalam satu hantaran video menafikan dakwaan DBKL tersebut dan kini sedang dirawat di Hospital Serdang kerana mengalami patah tulang belakang selepas jalani ujian x-ray.

Anda Mungkin Berminat