Ibu Zara rayu pendakwaan ditangguh, mahu pertuduhan lebih berat

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir merayu agar pendakwaan terhadap lima remaja terbabit dalam kes buli pelajar itu ditangguhkan bagi membolehkan pertuduhan lebih berat dikenakan.

Ketua pasukan guaman, Hamid Ismail berkata pihaknya bimbang sekiranya prosiding yang dijalankan esok diteruskan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan tertuduh mengaku bersalah, mereka tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan lebih berat kerana prinsip ‘double jeopardy’ di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami khuatir apabila inkues September depan menemui keterangan baharu yang boleh membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, semua tertuduh tidak lagi boleh didakwa semula.

“Satu surat rasmi telah dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pagi ini bagi memohon pertuduhan ditangguhkan sementara waktu.” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hamid turut berharap Peguam Negara mempertimbangkan agar semua remaja berkenaan dituduh mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, atau siasatan lanjut dijalankan bagi membolehkan mereka didakwa atas kesalahan yang lebih berat.

Semalam, Peguam Negara memaklumkan lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes buli pelajar tingkatan satu itu.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat