KPT: Idea pengecualian bayaran balik PTPTN graduan IPTS B40 dan M40 wajar

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengakui wujud keperluan untuk menilai semula cadangan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun cadangan itu wajar dipertimbangkan, mekanisme pelaksanaannya perlu diperincikan terlebih dahulu, terutamanya bagi IPTS.

Beliau menjelaskan sebelum ini model pengecualian melibatkan pelajar IPTA sahaja, tetapi kali ini fokus kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) daripada kumpulan B40 dan M40.

“Saya fikir ada kewajaran untuk menilai IPTS, tetapi mekanisme perlu diperincikan. Ini akan dipertimbangkan bersama Kementerian Kewangan dan KPT,” katanya

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.

Mustapha turut memaklumkan status bayaran balik PTPTN setakat 31 Oktober lalu, dengan seramai 911,788 peminjam daripada keluarga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjaya menyelesaikan bayaran sebanyak RM13.89 bilion.

“Seramai 450,522 peminjam lain dalam kategori sama membayar secara konsisten berjumlah RM4.17 bilion, manakala 967,796 peminjam mempunyai tunggakan RM10.23 bilion.

Pada masa sama, Mustapha berkata bagi peminjam daripada keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan, seramai 8,921 individu berjaya membayar RM703.45 juta. Peminjam berpendapatan melebihi RM8,000 pula membayar RM1.54 bilion.

Katanya lagi, bagi peminjam yang konsisten membayar mengikut jadual, 131,386 peminjam bukan penerima STR berpendapatan sehingga RM8,000 menyelesaikan RM657.79 juta, manakala 39,324 peminjam berpendapatan melebihi RM8,000 membayar RM362.36 juta.

“Bagi peminjam yang mempunyai tunggakan, 196,315 peminjam bukan penerima STR berpendapatan sehingga RM8,000 memiliki tunggakan RM539.35 juta, manakala 64,618 peminjam berpendapatan melebihi RM8,000 pula mempunyai tunggakan RM257.56 juta” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat