iFUTURE 2025: Mahasiswa Digilap Sebagai Pemimpin Berjiwa Besar – Dr Zambry

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berteraskan nilai murni dan berjiwa besar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, KPT bertanggungjawab menyediakan ekosistem yang menyeluruh dan berkesan bagi membolehkan mahasiswa meneroka potensi kepimpinan mereka secara mendalam.

“Dunia hari ini memerlukan pemimpin baharu yang mempunyai belas kasihan dan sifat kemanusiaan bagi mengelak konflik serta memacu kemajuan bersama,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan (iFUTURE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Lebih 1,000 mahasiswa dari 50 negara hadir menyertai sidang kemuncak selama tiga hari itu, yang membuka ruang dialog langsung bersama pemimpin negara, tokoh industri dan pemikir terkemuka.

Program itu bertujuan memperkasa kebolehan kepimpinan mahasiswa agar mampu bersaing di pentas global.

Dr Zambry turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan hanya terhad kepada bidang politik tetapi merangkumi tanggungjawab dalam kehidupan seharian dan masyarakat.

“Saya yakin dewan ini dipenuhi bakal perdana menteri, CEO dan pemimpin masyarakat yang akan membawa perubahan positif kepada negara masing-masing,” katanya.

Program iFUTURE 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) menjadi manifestasi kesungguhan KPT dalam membentuk graduan yang matang dalam pemikiran, berdaya saing dan berwawasan.

Majlis penutup turut menyaksikan Dr Zambry menerima Deklarasi iFUTURE 2025 daripada wakil mahasiswa sebagai simbol komitmen generasi muda terhadap masa depan kepimpinan yang inklusif dan beretika.

Anda Mungkin Berminat