Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ikan susu atau nama saintifiknya Chanos chanos bukan sahaja digemari kerana rasa isinya yang lemak dan lembut, tetapi juga kerana kandungan nutriennya yang tinggi.
Ia juga merupakan spesies akuakultur yang semakin mendapat perhatian sebagai alternatif sumber ikan berkhasiat di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, pada tahun 2024, pengeluaran ikan susu mencapai 4,203.59 tan metrik dengan nilai jualan borong sebanyak RM37.08 juta.
“Kedah menjadi penyumbang utama dengan pengeluaran sebanyak 3,700.8 tan metrik diikuti Johor 454.97 tan metrik dan Sabah 46.51 tan metrik.
“Peningkatan dalam nilai pasaran juga mencerminkan potensi ikan susu untuk terus memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Adnan berkata, ikan susu terkenal sebagai spesies yang mudah diternak, dengan kos operasi rendah kerana hanya memerlukan makanan berprotein rendah serta tinggi daya tahan penyakit yang menjadikannya pilihan ekonomi berdaya maju untuk penternak tempatan.
Selain menjadi sumber protein untuk manusia, beliau berkata, ikan susu juga diiktiraf sebagai alternatif bahan makanan ternakan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang menjadikannya pilihan yang strategik dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
“Pengeluaran ikan susu dijangka terus meningkat, menyumbang kepada kestabilan industri akuakultur dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“DOF menyeru rakyat Malaysia memilih ikan susu sebagai sajian harian yang bukan sahaja menyokong industri akuakultur tempatan tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada perikanan tangkapan yang semakin terjejas akibat perubahan iklim dan penurunan sumber marin,” katanya.
Ikan susu adalah sumber protein berkualiti tinggi serta kaya dengan Vitamin A, B12, B6, B-Kompleks dan Omega-3 yang menjadikannya pilihan makanan yang baik untuk kesihatan, membantu mengekalkan kekuatan tulang, mengurangkan keradangan, serta menyokong fungsi hati dan buah pinggang.
Selain itu, kandungan ‘astaxanthin’, yang merupakan antioksidan semula jadi dan protein yang tinggi dalam ikan susu juga memberi manfaat dalam menyokong penurunan berat badan.
Sebagai bahan masakan, ikan susu amat versatil dan boleh diolah menjadi pelbagai hidangan seperti laksa ikan susu, asam pedas, ikan salai, goreng berlada, bakar, kukus dan pais.
Baca juga: