PETALING JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyenaraikan ikan tongkol sebagai salah satu barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Ia bertujuan untuk memastikan kestabilan harga serta ketersediaan bekalan ikan di pasaran, terutama menjelang musim perayaan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, harga maksimum untuk ikan aya atau tongkol bersaiz satu atau dua ekor sekilogram telah ditetapkan di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Selain itu, katanya, beberapa jenis hasil laut lain turut diletakkan di bawah kawalan harga, termasuk ikan demudok/sagai/cermin/cupak (3-5 ekor sekilogram) di Sabah dan ikan kembung/mabung (8-12 ekor sekilogram) dan ikan selayang yang tertakluk kepada kawalan harga di seluruh negara.
Menurut beliau, peningkatan pendaratan tuna neritik termasuk ikan tongkol adalah hasil usaha kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri perikanan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Jabatan Perikanan komited untuk memastikan kestabilan harga dan bekalan ikan, terutamanya semasa musim perayaan.
“Usaha pengawalan harga dan pemantauan pendaratan ini akan membantu menjamin bekalan mencukupi serta harga ikan yang stabil di pasaran,” ujarnya.
Dalam memastikan keberkesanan inisiatif ini, Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memantau bekalan dan kelestarian sumber perikanan negara.
Orang ramai juga digalakkan untuk merancang pembelian secara bijak dan menyokong langkah kerajaan dalam mengekalkan harga barangan keperluan asas.