Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia bertindak proaktif dalam menghadapi kesan tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah strategik yang dikenali sebagai Ikhtiar Madani telah dilaksanakan sejurus pengumuman tarif import oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Antara usaha utama ialah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan oleh saya sendiri.
“Dalam tempoh singkat, NGCC telah mengadakan tiga sidang untuk meneliti perkembangan isu ini secara dekat,” katanya.
Tambah Anwar, Malaysia turut memainkan peranan aktif dalam ASEAN dengan menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengenai tarif AS.
Hasilnya kata beliau,, negara-negara ASEAN bersetuju untuk tidak membalas tindakan AS secara agresif sebaliknya memilih pendekatan rundingan.
“ASEAN kekal komited kepada hubungan yang kukuh dan mampan dengan Amerika Syarikat memandangkan mereka adalah sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar dan rakan dagang kedua terbesar untuk ASEAN,” jelasnya.
Sebagai langkah lanjut, katanya, Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN dibentuk bagi memperkukuh pemantauan dan penyelarasan dasar di peringkat serantau.
Malaysia turut menawarkan penyelesaian kepada AS dalam menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam laporan National Trade Estimates Report 2025.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh MITI, bersama TYT Ambassador Jamieson Greer dan TYT Howard Lutnic yang telah mengadakan rundingan dengan AS.
Keputusan awal menunjukkan respon positif daripada pihak AS dengan membuka kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan.
Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Anwar menjelaskan bahawa pendirian mengenai tarif AS harus diambil secara kolektif bersama ASEAN, memandangkan blok ekonomi ini bernilai $4 trilion dengan populasi 640 juta orang.
Lebih menarik lagi, AS telah menyatakan kesediaan untuk rundingan lebih lanjut dengan Malaysia.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dengan sokongan reformasi struktur di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
“Pertumbuhan eksport ke negara ASEAN meningkat sebanyak 4.2 peratus dan ke Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 2.6 peratus.
“Sementara itu, eksport ke pasaran bukan tradisional melonjak secara signifikan, antaranya Mesir (53.6%), Pakistan (29%) dan Kemboja (30.1%),” ujar beliau.
Selepas kenyataan Perdana Menteri, Sidang Khas Parlimen diteruskan dengan sesi perbahasan yang melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, diikuti penggulungan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Kementerian Kewangan.