IM All Star Cherating Juara NADI e-Sukan MADANI Legend

Oleh: Nadhirah Akmam

PUTRAJAYA: Pertandingan NADI e-Sukan MADANI Legend bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang melabuhkan tirainya pada Ahad dengan penyertaan 32 pasukan belia berusia bawah 35 tahun dari seluruh negara.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan saingan peringkat kumpulan bermula pada Sabtu sebelum diteruskan dengan aksi penentuan juara dalam perlawanan akhir yang sengit pagi Ahad.

Pasukan IM All Star Cherating dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pencabar terdekat mereka, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta Piala Kejohanan.

Hadiah kemenangan tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Tempat kedua menjadi milik pasukan GAMEVION, manakala pasukan Pengakap Muda dan ATX Astra Prime masing-masing menamatkan kejohanan di tempat ketiga dan keempat.

Menurut penganjur, pertandingan itu berjaya menarik minat belia terhadap e-sukan secara sihat dan berstruktur, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam arena kompetitif digital.

“NADI e-Sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi medium mendidik belia tentang nilai disiplin, kerja berpasukan dan peluang kerjaya dalam industri e-sukan,” menurut kenyataan NADI Malaysia dalam satu hantaran rasmi di Facebook.

NADI e-Sukan merupakan salah satu inisiatif di bawah Perkhidmatan Pintar NADI menerusi teras Pembelajaran Sepanjang Hayat yang bertujuan memperkasa komuniti setempat dengan kemahiran digital serta pendedahan kepada industri e-sukan yang kian berkembang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat