PETALING JAYA: Malaysia terus mencatatkan lebihan dagangan selama 62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, walaupun jumlah dagangan pada Jun 2025 menyusut 1.2 peratus kepada RM234.9 bilion.
Eksport negara merosot 3.5 peratus kepada RM121.7 bilion manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM125.9 bilion, menjadikan lebihan dagangan berkurang daripada RM14.3 bilion kepada RM8.6 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan eksport disumbangkan oleh pengurangan eksport domestik sebanyak 5.2 peratus kepada RM95.3 bilion, manakala eksport semula naik 3.4 peratus kepada RM26.4 bilion.
“Penurunan eksport terutamanya berpunca daripada penghantaran lebih rendah ke negara utama seperti Singapura, China dan Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, import meningkat berikutan kemasukan barangan lebih tinggi dari China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan, melibatkan produk seperti barangan elektrik, peralatan dan barang kemas.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan meningkat 4.8 peratus kepada RM1.5 trilion, namun lebihan dagangan susut 17.2 peratus kepada RM55.5 bilion.
Malaysia juga mencatat kejayaan apabila menduduki tangga pertama dalam laporan “Open Data Inventory (ODIN)” 2024/25, mengatasi 198 negara lain dan menjadikan lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 dua tahun lalu.
DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 tahun ini dan Hari Statistik Negara bakal diraikan pada 20 Oktober dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’.
Prestasi perdagangan luar negeri mencerminkan kesihatan ekonomi negara, dan sejak pandemik COVID-19, Malaysia kekal mencatat lebihan dagangan, disokong sektor eksport terutama barangan elektrik dan elektronik.