Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan gambar tular yang memaparkan jalan mendap di sekitar Jalan Dewan Bahasa, Kampung Attap adalah gambar lama.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, DBKL memaklumkan kerja-kerja membaiki kerosakan jalan tersebut telah dijalankan.
“Dimaklumkan bahawa gambar tersebut merupakan gambar lama dan kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan di jalan tersebut telah dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi berita yang tidak sahih kerana ianya boleh menimbulkan kegelisahan awam,” menurut kenyataan ringkas itu pada Khamis.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Dalam pada itu, satu lagi insiden tanah mendap dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus berkenaan.








