Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pengurusan ekonomi yang berhemah dan bertanggungjawab amat penting ketika situasi bergolak yang melanda beberapa negara seperti Iran dan Israel.
Menurut Anwar, suasana aman dalam negara memberi ruang untuk kerajaan menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang kukuh demi menjamin masa depan rakyat dan negara.
“Iran sekarang, katalah merebak, dia akan merudum pula. Itu ada beberapa kesan yang luar daripada kawalan kita.
“Tetapi bila keadaan tenang, pengurusan ekonomi itu penting,” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa pelaksanaan pembaharuan fiskal negara dilakukan selaras dengan Artikel IV Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), satu prosedur standard yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak Malaysia menyertai IMF selepas kemerdekaan.
“Saya ingat masa saya jadi Menteri Kewangan dulu, bila saya diberi cuti panjang, saya diserang kerana kononnya berunding dengan IMF.
“Sedangkan rundingan itu adalah keperluan biasa mengikut Artikel IV yang dilakukan setiap tahun oleh semua negara anggota,” jelas beliau.
Mengulas mengenai dapatan IMF baru-baru ini, Anwar memaklumkan bahawa agensi kewangan antarabangsa itu memberikan penilaian positif terhadap pendekatan Malaysia dalam mengurus fiskal negara secara lebih bertanggungjawab.
Menyentuh perihal hal hutang negara pula, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan berjaya mengurangkan defisit negara daripada 5.5 peratus pada tahun 2022 ketika beliau mula mengambil alih tampuk kepimpinan, kepada 4.1 peratus bagi tahun 2024 lebih baik daripada unjuran awal iaitu 4.3 peratus.
Beliau turut memuji serta mengucapkan tahniah kepada para penjawat awam di kementerian terhadap pencapaian itu yang turut menyifatkan ia sebagai hasil kerjasama erat antara kerajaan dan penjawat awam.
Dengan itu, beliau menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas di media sosial yang menggambarkan seolah-olah kerajaan terus menambah hutang tanpa kawalan.
Baca juga: