PETALING JAYA: Seramai 2,581 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal mereka, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga 21 Januari 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan statistik itu, warga Indonesia paling ramai dihantar pulang iaitu 1,080 orang atau lebih 41 peratus dari jumlah keseluruhan PATI tersebut dan diikuti dengan 399 orang warga Myanmar.
“Selain itu, warga Bangladesh (301 orang) dan lain-lain warganegara (801 orang.
“Lelaki paling tinggi bilangannya iaitu 2,022 orang dan perempuan (599 orang).
“Mereka yang dihantar pulang ini berusia di antara 23 hingga 66 tahun,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM secara berterusan melaksanakan usaha-usaha bagi mengelakkan peningkatan jumlah PATI dalam negara, termasuk mempergiatkan inisiatif pengusiran PATI ke negara asal.
Mengulas lanjut, katanya, kerjasama dan rundingan dengan pihak perwakilan asing giat dilaksanakan untuk menyegerakan urusan dokumentasi PATI termasuk yang tiada dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang memintanya menyatakan jumlah PATI yang dihantar pulang ke negara masing-masing.
Menjawab soalan kedua Zahari berkaitan PATI yang tiada kewarganegaraan, Saifuddin berkata, mereka perlulah melalui proses penilaian dan penentuan status pelarian yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Sekiranya warga asing berkenaan disahkan sebagai pelarian, maka mereka adalah tertakluk kepada proses penempatan semula ke semula ke negara ketiga,” jelasnya.
Baca juga: