Imigresen Johor tahan 28 warga asing pada Ops Sapu Skudai

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 28 warga asing selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa dalam ops Sapu di beberapa unit rumah kedai sekitar Skudai pada Rabu.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir, berkata serbuan itu dibuat pada 12.50 tengah malam selepas menerima aduan orang awam yang menyatakan terdapat warga asing yang tinggal di kawasan itu tanpa permit yang sah.

“Warga asing yang ditahan melibatkan sembilan orang lelaki dan empat wanita wanita, yang merupakan warga Myanmar.

“Kami turut mencekup enam lelaki warga Bangladesh di samping lima lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia. Seorang daripada mereka merupakan kanak-kanak lelaki.

“Kesemua yang ditahan berada dalam lingkungan usia 11 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu menurut laporan Bernama.

Hasil siasatan mendapati warga asing ini menyewa ruang tamu dan bilik kecil dalam kadar harga RM450 hingga RM750 sebulan.

Baharuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal melebihi masa.

Jabatan Imigresen turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga asing tanpa izin di kawasan mereka untuk tampil memberi kenyataan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat