Imigresen Johor Tumpas Rantaian Penggajian Haram Kilang Komponen Komputer, 356 PATI Ditahan

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Negeri Johor telah melancarkan satu operasi besar-besaran dikenali sebagai Ops Mahir pada 16 Disember 2025, menyasarkan sebuah kilang komponen komputer di kawasan Perindustrian Tebrau.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula pada pukul 7.00 malam itu dijalankan susulan risikan yang mengesahkan penglibatan serius pihak majikan dalam penggajian pendatang asing tanpa izin (PATI) secara haram.

Beliau berkata, dalam serbuan mengejut yang diketuai oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), pihak berkuasa berjaya menahan sejumlah besar warga asing yang dipercayai bekerja tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah.

“Sebahagian daripada mereka cuba meloloskan diri bagi mengelak tindakan penguatkuasaan, namun tindakan pantas anggota berjaya menutup semua laluan keluar dan menamatkan cubaan tersebut.

“Turut ditahan dalam operasi itu ialah dua warga tempatan yang dikenal pasti sebagai pegawai sumber manusia kilang berkenaan.

“Pemeriksaan menyeluruh di premis tersebut turut mendedahkan pelanggaran undang-undang Imigresen secara terancang termasuk kegagalan majikan mematuhi syarat-syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Mohd Rusdi berkata, hasil pemeriksaan awal, Imigresen Johor mendapati seramai 356 orang warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada warga Pakistan, Bangladesh, Nepal, India, Filipina, Myanmar dan Indonesia, berusia antara 18 hingga 46 tahun.

Katanya, kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada para majikan yang masih berdegil melanggar undang-undang demi keuntungan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang berdegil melanggar undang-undang Imigresen demi keuntungan.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan, agresif dan menyeluruh di seluruh negeri Johor bagi memutuskan rantaian penggajian haram PATI serta memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat