Seramai 45 orang warga asing ditahan Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Bintulu melalui tindakan operasi yang dijalankan di sekitar Bintulu, Sarawak pada Rabu.
Menerusi kenyataan, UPI menahan kesemua individu terbabit kerana melakukan kesalahan tinggal melebihi masa dan tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kesemua tahanan tersebut terdiri daripada 31 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak warganegara Indonesia.
“Pihak UPI melakukan operasi tersebut susulan menerima maklumat risikan serta aduan orang ramai dan seramai 91 individu telah diperiksa sepanjang operasi yang dilakukan di sekitar Bintulu dan Tatau,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak pada Khamis.

Operasi berkenaan diadakan di pelbagai lokasi termasuk rumah pekerja ladang, rumah kebun, kilang baja, kilang memproses kayu, premis makanan dan pusat refleksologi.
Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi masa dan tidak mempunyai pas atau permit yang sah.
Dalam pada itu, Imigresen Sarawak turut menyeru majikan dan pekerja warga asing untuk memohon pas lawatan kerja yang sah dan bersesuaian.
Ia selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia untuk mengelakkan daripada tindakan dikenakan terhadap mereka.
Baca juga: