Imigresen sudah dibaik pulih Sistem Kawalan Sempadan Automatik di pintu masuk utama Malaysia-Singapura

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memaklumkan bahawa masalah teknikal dan kerja-kerja konfigurasi Sistem M-Bike telah selesai dan sudah diatasi selain, fungsi Sistem M-Bike juga telah pulih sepenuhnya serta sudah mula beroperasi seperti sediakala.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagi memastikan kelancaran di zon pemeriksaan motosikal, tindakan pemantauan akan dilakukan.

“Untuk memastikan kelancaran zon pemeriksaan motosikal terutamanya pada waktu puncak, tindakan pemantauan berterusan selama 24 jam akan terus dilaksanakan agar gangguan sistem tidak berulang.

“Pihak JIM juga komited untuk sentiasa berusaha bagi menambahbaik proses kerja dan sistem sedia ada bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama Malaysia dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, JIM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen tinggi yang diberikan oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri, JIM Negeri Johor dan syarikat pengendali penyelenggaraan sistem dalam memastikan gangguan dapat dipulihkan.

JIM turut berterima kasih di atas keprihatinan serta sokongan daripada Datuk Onn Ghazi selaku Menteri Besar Johor dalam menangani isu tersebut.

Sebelum ini, JIM mengambil maklum mengenai kesesakan luar biasa yang berlaku di Zon Motosikal Kompleks ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

Insiden gangguan sistem itu berlaku disebabkan kerja-kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu yang dilantik bermula pada 29 Februari 2024.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/11/oppenheimer-menangi-7-anugerah-oscars-2024-termasuk-filem-terbaik/

Anda Mungkin Berminat