Jabatan Imigresen menahan 10 pengemis warga asing di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar, Jalan Aea, Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 12.15 tengah hari Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi tersebut pihak Imigresen menahan pengemis yang berasal dari Indonesia dan Myanmar.
“Jumlah penahanan 10 orang terbahagi masing-masing kepada dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia, di samping seorang lelaki dan dua perempuan dari Myanmar.
“Empat kanak-kanak, dua lelaki dan dua perempuan dari Myanmar turut ditahan dalam operasi tersebut,” katanya lapor Berita Harian.
Semua yang ditahan dari operasi tersebut berada dalam lingkungan umur 2 hingga 41 tahun.
Pada mulanya, seramai 13 orang ditahan dan diperiksa namun tiga individu dilepaskan kerana mereka merupakan warga tempatan.
“Imigresen menjalankan pemeriksaan di lokasi tersebut susulan aduan orang awam berhubung kegiatan mengemis dalam kalangan warga asing yang kerap berlaku di situ,” tambahnya.
Semua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Baca juga: