Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan tiga lelaki warganegara Syria yang sedang bekerja di beberapa premis di sebuah pusat beli-belah di kawasan bandar negeri itu menerusi Ops Sapu/Kutip pada Selasa.
Pengarah JIM Kelantan, Mohd, Faizal Shamsudin berkata, JIM Kelantan turut menahan 16 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang sama.
“Operasi tersebut dilakukan di sekitar bandar Kota Bharu dan Machang. Warga asing yang ditahan melibatkan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, Bangladesh, Mesir, kanak-kanak lelaki Kemboja termasuk dua wanita dan kanak-kanak perempuan Kemboja.
“Selain itu, tiga lelaki warganegara Syria dan masing-masing empat lelaki Kemboja dan Pakistan turut diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Faizal turut berkata, kesemua warga asing itu berada di premis pusat beli-belah, kedai runcit, beberapa buah rumah pekerja ladang di Temangan, Machang dan rumah teres di daerah tersebut.
Tambahnya, lingkungan usia warga asing ditahan antara 19 hingga 55 tahun, manakala, kanak-kanak pula dari 7 hingga 12 tahun.
“Susulan itu, kesemua warga asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) akta sama dan Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.