KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 individu dalam serbuan ke atas sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh, selepas premis itu dipercayai dijadikan pusat pelacuran warga asing.
Operasi khas yang dijalankan kelmarin bermula jam 8.45 malam itu menahan dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, dua lelaki Indonesia, 17 wanita Indonesia, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan seorang wanita Laos, berusia 19 hingga 61 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil pemeriksaan mendapati ada antara mereka menyalahgunakan pas lawatan, tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah.
“Sebahagian daripada mereka dikesan menyalahgunakan pas lawatan, tinggal lebih masa dan ada yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Beliau berkata, sindiket terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menawarkan perkhidmatan selain pelanggan boleh memilih wanita secara terus di premis.
“Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempamerkan gambar wanita, selain pelanggan boleh memilih secara terus di premis dengan bayaran antara RM250 hingga RM400 sejam,” katanya.
Turut disita beberapa salinan pasport, perjanjian kerja dan dokumen berkaitan aktiviti terbabit. Premis itu dipercayai beroperasi sejak September tahun lalu.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala tujuh lelaki tempatan diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan” katanya lagi.
Baca juga: