Imran Khan, isteri dihukum penjara 17 tahun dalam kes Toshakhana-II

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan isterinya, Bushra Bibi masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun selepas didapati bersalah dalam kes hadiah negara atau Toshakhana-II, menurut laporan portal Pakistan Today.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Khas Pusat, Shahrukh Arjumand, di dalam Penjara Adiala, Rawalpindi pada Sabtu, tempat Imran dan Bushra kini menjalani hukuman penjara bagi sabitan terdahulu.

Mahkamah mendapati pasangan itu bersalah kerana terlibat dalam penjualan dan pembelian hadiah asing secara haram pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai sebenar, selain menyalahgunakan peruntukan undang-undang berkaitan Toshakhana.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda sebanyak 10 juta rupee Pakistan (sekitar AS$35,600 atau RM145,000) ke atas Imran dan Bushra masing-masing.

Kes berkenaan merupakan sabitan ketiga terhadap Imran Khan yang berkait dengan Toshakhana.

Pada Ogos 2023, beliau dihukum penjara tiga tahun dalam kes sama, manakala pada Januari 2024, Imran dan Bushra masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dalam kes Toshakhana-I.

Imran dan isterinya sebelum ini menafikan semua pertuduhan, dengan menyifatkan kes berkenaan sebagai bermotifkan politik dan direka untuk menyingkirkannya daripada landskap politik Pakistan.

Sejak ditahan pada Ogos 2023, Imran berdepan puluhan pertuduhan termasuk rasuah dan keganasan, yang kesemuanya disifatkan beliau sebagai palsu.

Portal tersebut juga melaporkan kerajaan telah memfailkan lebih 200 kes terhadap bekas perdana menteri itu, namun beliau berjaya memperoleh ikat jamin bagi sebahagian besar pertuduhan berkenaan.

Anda Mungkin Berminat