CYBERJAYA: Seorang individu disiasat kerana dipercayai memuat naik kandungan berunsur mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kandungan berkenaan menyentuh sensitiviti Institusi Diraja membabitkan elemen 3R (kaum, agama dan raja-raja) serta berpotensi mencetuskan kebencian awam dan ketegangan.
Bagi membantu siasatan, individu terbabit dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari lalu.
“Dalam sesi rakaman percakapan itu, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM disita bagi tujuan analisis forensik digital,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Diraja.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform digital secara berhemah dan tidak menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Baca juga:








