PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SKMM, individu tersebut gagal menghadirkan diri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memuat naik kandungan palsu.
Katanya, suspek kini berada dalam tahanan PDRM dan akan dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Sepang dalam masa terdekat.
“Individu berkenaan gagal hadir ke sebutan kes yang ditetapkan di mahkamah tersebut pada 24 Februari 2025.
“Tangkapan ke atas suspek pada pukul 11 malam tadi telah dilaksanakan oleh SKMM dengan kerjasama PDRM di Kuala Lumpur, sejurus waran tangkap dikeluarkan oleh hakim mahkamah berkenaan,” kata SKMM.
Selaras dengan tindakan tersebut, suspek telah didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 11 Februari 2025, SKMM telah menjalankan siasatan terhadap enam individu yang disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
SKMM juga melaporkan bahawa satu operasi pemeriksaan telah dijalankan melibatkan seorang suspek di Setapak yang memuat naik kandungan palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.