Individu Tular Isi RON95 Dalam Tong Plastik Adalah Nelayan – KPDN Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengesahkan tiada pelanggaran undang-undang dalam insiden tular seorang individu mengisi minyak RON95 ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, Jegan R. Subramaniam berkata, siasatan segera dijalankan selepas pihaknya menerima aduan berhubung rakaman video yang tersebar di media sosial.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati individu terbabit adalah seorang nelayan yang memiliki permit sah untuk membeli bahan api mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Individu berkenaan mempunyai permit yang sah dan pembelian bahan api tersebut adalah tertakluk kepada had kuota yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jegan berkata, pembelian minyak ke dalam bekas selain tangki kenderaan adalah dibenarkan sekiranya tidak melebihi 20 liter atau mempunyai permit khas barang kawalan berjadual yang dikeluarkan KPDN.

“Permit khas ini lazimnya diberikan bagi kegunaan tertentu seperti pengoperasian jentera pertanian dan aktiviti perikanan,” ujarnya.

Beliau turut berkata, sebarang pembelian melebihi had yang ditetapkan tanpa permit sah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN menasihatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“KPDN akan terus komited menjalankan pemantauan berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.

Orang ramai digesa menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil dengan lebih berkesan.

Anda Mungkin Berminat