JOHOR BAHRU: Dua aplikasi e-hailing dari Russia iaitu InDrive dan Maxim diarah Kementerian Pengangkutan untuk menghentikan operasi mereka berkuat kuasa 24 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat memberhentikan operasi kepada dua aplikasi e-hailing itu baru-baru ini.
“Dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan, namun rayuan itu hanya boleh diputuskan saya selaku Menteri Pengangkutan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang, memetik laporan media tempatan.
Isnin lalu, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menggesa kerajaan menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing itu termasuk menyekat akses platform berkenaan.
Menerusi kenyataan, Penghantar Malaysia dilaporkan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
Ia termasuk tidak memastikan pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti diwajibkan undang-undang Malaysia.
Baca juga: