Induk dan 28 ekor anak sawa baru menetas ditangkap dalam longkang restoran

SHAH ALAM: Sejumlah 29 ekor ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu pada pukul 9.56 malam.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dilokasi, anggota mendapati 28 anak ular sawa yang dipercayai baru menetas serta seekor induk berada dalam saliran longkang berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Mukhlis berkata, anggotanya menggunakan alat penjerut dan berjaya menangkap 29 ekor ular terbabit.

Difahamkan, operasi menangkap ular itu mengambil masa 12 minit dan kesemua tangkapan dilepaskan ke tempat yang selamat.

Anda Mungkin Berminat