PUTRAJAYA: Industri budaya dan kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai RM130.7 bilion pada tahun 2024, menurut Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata industri berkenaan mencatat pertumbuhan 7.1 peratus pada 2024 berbanding 4.5 peratus tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan perkembangan positif sektor itu dalam ekonomi negara.
“Pada 2024, industri budaya dan kreatif terus berkembang dan menyumbang secara signifikan kepada KDNK Malaysia, sejajar dengan pemulihan ekonomi dan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan kreatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, industri budaya dan kreatif merangkumi domain teras dan domain transversal, yang bersama-sama membentuk ekosistem budaya menyeluruh bagi menyokong aktiviti ekonomi, sosial dan inovasi kreatif.
Domain teras mencatat pertumbuhan 7.8 peratus, dipacu oleh reka bentuk dan perkhidmatan kreatif, selain buku dan media cetak serta audiovisual, yang secara keseluruhan menyumbang hampir 80 peratus kepada domain teras industri berkenaan.
Sementara itu, domain transversal berkembang 6.6 peratus, didorong oleh peralatan dan peranti pelbagai guna, pendidikan budaya serta festival, yang menjadi sokongan penting kepada keseluruhan ekosistem budaya dan kreatif.

Dari segi perdagangan antarabangsa, eksport produk kreatif pulih kepada RM63.0 bilion atau meningkat 12.4 peratus pada 2024, manakala import mencatat pertumbuhan 15.8 peratus kepada RM43.9 bilion.
Untuk rekod, Akaun Satelit Budaya dan Kreatif disusun selaras dengan piawaian antarabangsa termasuk System of National Accounts dan Rangka Kerja Statistik Budaya UNESCO, sekali gus meletakkan Malaysia seiring negara maju dalam mengukur sumbangan sebenar industri budaya dan kreatif kepada ekonomi negara.
Baca juga:








