Industri halal mampu lengkapi ekonomi Islam – PM

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus mengangkat industri halal sebagai antara penyumbang utama ekonomi Malaysia, khususnya dengan memastikan produk dan pensijilan halal negara berjaya menerobos ke peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ekosistem pembangunan industri halal akan menjadi antara fokus utama perbincangan, sekali gus membuktikan pengiktirafan dunia terhadap prospek dan kualiti industri halal negara.

“Industri halal yang diterajui Malaysia telah jauh melangkaui kefahaman tradisional.

“Bahkan, diperluas meliputi keseluruhan ekosistem hingga menyantuni setiap lapisan rakyat sama ada petani, nelayan, pengusaha kecil atau peniaga besar selaras tuntutan Maqasid Syariah,” katanya ketika berucap di Majlis Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Edisi Ke-20 2024 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian MIHAS yang berjaya menembusi pasaran baharu hingga ke Dubai.

“Saya turut berbangga dengan pencapaian MIHAS yang berjaya meluaskan akses pasaran baharu dengan penganjuran MIHAS@Dubai.

“Semoga semua usaha yang dilaksanakan mengangkat nama Malaysia sebagi pemain utama industri halal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, majlis perasmian tersebut telah disertai lebih 2,000 pempamer dari 66 buah negara dan MIHAS 2023 telah diiktiraf sebagai Kehadiran Terbesar Pameran Dagangan Halal oleh Rekod Dunia Guinness dengan catatan kehadiran seramai 28,566 pengunjung pada tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat