Industri pembinaan ke era digital dengan MYBIM Satellite Centre

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini merasmikan MYBIM Satellite Centre, satu inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem industri pembinaan negara ke arah lebih moden, cekap dan berteknologi.

Menurutnya, industri pembinaan merupakan tulang belakang pembangunan negara dalam menghadapi cabaran semasa, kaedah konvensional sahaja tidak mencukupi.

“BIM bukan sekadar perisian, tetapi kaedah kerja bersepadu yang membantu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kelewatan dan pembaziran kos, serta memastikan kualiti projek dilaksanakan dengan lebih sistematik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM430 bilion bagi pelaksanaan program dan projek pembangunan termasuk sektor infrastruktur.

“Sasaran pertumbuhan sektor pembinaan sekitar lima peratus setahun hanya dapat dicapai sekiranya industri bersedia mengadaptasi teknologi dan pendekatan kerja bersepadu.

“Sejak pelaksanaan BIM di peringkat nasional, seramai 9,375 pemain industri telah menerima latihan melalui myBIM Centre dan rangkaian Satelit di seluruh negara.

“Ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan dan rakan industri dalam membangunkan kapasiti kontraktor secara inklusif, termasuk kontraktor kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CIDB Malaysia serta pihak industri atas kerjasama strategik dalam menjayakan agenda transformasi ini.

“MYBIM Satellite Centre diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat pembelajaran dan peningkatan kemahiran, selaras dengan hala tuju pembangunan sektor pembinaan negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat