PETALING JAYA: Pencapaian kadar inflasi negara pada paras 1.2 peratus bagi Mei lalu, yang merupakan terendah dalam tempoh 51 bulan, disifatkan sebagai bukti kejayaan dasar ekonomi kerajaan dalam mengawal kos sara hidup rakyat.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berkata pencapaian itu menunjukkan keberkesanan pendekatan kerajaan menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas menerusi pelaksanaan dasar fiskal dan kawalan harga yang konsisten.
“Ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga terutamanya bagi barangan keperluan asas. Usaha ini memberi kesan langsung kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, hari ini.
Katanya, kadar inflasi yang terkawal ini juga menunjukkan pendekatan Madani Bekerja yang diterapkan kerajaan memberi kesan positif dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Ini bermaksud harga barang tidak meningkat secara mendadak dan rakyat masih mampu berbelanja dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya lagi.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan supaya kerajaan berhati-hati dengan kadar inflasi yang terlalu rendah kerana ia boleh memberi isyarat kepada kelemahan permintaan pasaran.
“Kita tidak mahu kadar inflasi terlalu rendah kerana ini boleh membawa kepada risiko deflasi, yang akhirnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menunjukkan kadar inflasi negara pada Mei 2025 turun kepada 1.2 peratus berbanding 2.8 peratus pada bulan sama tahun lalu. Ini merupakan kadar terendah sejak Januari 2021.
Penurunan itu dipacu oleh kejatuhan harga dalam sektor perlombongan serta kenaikan yang lebih perlahan bagi kumpulan makanan dan minuman.
Bagaimanapun, Dr Ahmed Razman menjangka kadar inflasi mungkin kembali meningkat dalam tempoh terdekat susulan pelarasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), semakan tarif elektrik serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api seperti RON95.
Justeru, beliau menasihatkan agar kerajaan terus melaksanakan pemantauan pasaran secara konsisten bagi memastikan kestabilan harga kekal terkawal.
Baca juga: