Oleh: Aliyaa Azmi
SEORANG peniaga kek lapis tidak menyangka selebriti popular Zizan Razak benar-benar muncul dalam sesi TikTok Live miliknya sekitar pukul 2 pagi dan menghulurkan sumbangan wang secara peribadi.
Kisah itu dikongsi oleh pengguna Thread, @arinah_ahmad, ketika dia sedang menyiapkan tempahan sambil bersiaran langsung.
Pada masa itu, katanya, hanya sekitar lapan hingga 10 orang penonton menyertai sesi tersebut.
Kejutan bermula apabila Zizan menyapa di ruangan komen.
“Dia (Zizan) tanya, ‘’Sale’ berapa hari ni?’ dan minta nombor akaun.
“Saya betul-betul sangka itu akaun palsu. Saya jawab macam biasa je sebab dah mengantuk pun,” kata Arinah dalam ciapan yang kini tular.
Selepas siaran langsung (live) tamat, akaun tersebut kembali menghubunginya dan meminta QR code.
Arinah yang masih ragu-ragu, akhirnya memberikan maklumat akaun selepas diyakinkan suami.
Beberapa minit kemudian, dia menerima notifikasi pemindahan daripada nama sebenar pelakon itu, Mohd Zizan bin Razak.
“Ya ampun, mati-mati saya ingatkan ‘scammer’! Dia cakap dia terharu tengok orang berniaga sampai lewat malam.
“Dia (Zizan) nak ‘support’ (bantu) dan berterima kasih sebab izinkan dia bersedekah kerana Allah,” jelas Arinah.
Kini, Arinah sedang berusaha mencari surau atau masjid bagi menyalurkan semula sumbangan tersebut kepada program komuniti.
Ramai pengguna media sosial tersentuh dengan tindakan spontan Zizan yang dianggap ikhlas dan merendah diri.
“Baiknya Zizan! Semoga dimurahkan rezeki dia dan semoga diluaskan lagi ‘business sis for working so hard’. Tengok chat tu pun pukul 2 pagi…” ciap @shuhadashuaimi.
“Zizan memang baik wei… UAI pernah puji dia. Kalau dengar podcast dia dengan Amelia pun sedih dengar cerita hidup dia. Semoga Zizan dapat isteri solehah,” ciap @symasyakira yang turut berkongsi.
Tindakan Zizan menyokong usahawan kecil bukan sekadar meringankan beban Arinah, malah menjadi inspirasi buat peniaga lain yang terus gigih mencari rezeki.








