PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid tampil mengecam keras penyebaran video fitnah di platform TikTok yang disifatkan sebagai serangan peribadi terancang terhadap dirinya.
Beliau mendakwa tiga akaun TikTok iaitu @nowadd_, @cikguirisdelea dan @sayapkiri916 telah menyiarkan kandungan yang penuh dengan tuduhan palsu, penyelewengan fakta serta naratif kebencian yang menyasarkan dirinya sebagai seorang wanita, Muslim dan pemimpin politik.
“Video-video ini bukan semata-mata kritikan biasa atau komentar politik.
“Ianya telah melampaui satu garis penting yang sepatutnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, garis antara kebebasan bersuara dan hasutan kebencian serta keganasan yang disengajakan,” katanya dalam kenyataan media.
Syerleena berkata, demokrasi Malaysia bergantung kepada perbahasan sihat dan perbezaan pandangan, namun ia akan runtuh sekiranya pembohongan dijadikan senjata untuk menyalakan kemarahan rakyat atau mengancam keselamatan individu.
Beliau mendakwa video-video tersebut bukan bertujuan menyebarkan maklumat membina tetapi untuk memprovokasi dengan memesongkan kata-kata, memutarbelitkan niat serta mencipta dakwaan palsu.
Lebih membimbangkan, katanya, kandungan itu memperalatkan sentimen agama dan stereotaip gender untuk menghilangkan kemanusiaan dirinya di mata penonton.
“Ini bukan sahaja serangan terhadap peribadi saya. Ini adalah serangan terhadap nilai adab, kesopanan dan rasa hormat yang selama ini menjadi pegangan rakyat Malaysia,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Syerleena turut menggesa syarikat media sosial khususnya TikTok, agar mengambil tanggungjawab lebih serius terhadap kandungan berbahaya yang disebarkan melalui algoritma mereka.
“TikTok dan platform lain tidak boleh lepas tangan atau sambil lewa daripada bahaya yang terhasil akibat algoritma mereka.
“Apabila kandungan penuh kebencian atau fitnah disebarkan kepada jutaan penonton, kesannya kepada dunia sebenar sangat serius,” katanya.
Beliau menuntut agar kandungan yang melanggar garis panduan dipadamkan, akaun yang berulang kali melakukan gangguan digantung dan moderasi kandungan politik di Malaysia ditingkatkan.
Selain itu, beliau menggesa pihak berkuasa termasuk MCMC dan PDRM untuk menyiasat pencipta video fitnah tersebut serta menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi rakyat daripada perilaku dalam talian yang berbahaya.
“Tujuannya bukan untuk membalas dendam. Tujuannya untuk memberi peringatan.
“Apabila sempadan tidak ditegakkan, mereka yang menyebarkan kebencian akan berasa lebih berani untuk melampau,” jelasnya.
Sebagai seorang pemimpin wanita Muslim, Syerleena menekankan bahawa gender dan agama sering dijadikan alat intimidasi untuk membungkam suara wanita dalam kepimpinan.
Namun beliau berkata, wanita tidak akan berundur daripada ruang politik.
“Negara ini memerlukan lebih ramai wanita di meja membuat keputusan, bukan lebih sedikit.
“Kita mesti mewujudkan persekitaran di mana anak perempuan, adik-beradik dan para ibu dapat memimpin tanpa rasa takut,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada, menyemak maklumat dan menolak naratif yang dibina atas kemarahan bukannya kebenaran.
“Saya akan terus berkhidmat dengan integriti, fokus kepada usaha yang benar-benar bermakna memperkukuh komuniti, memperbaiki kehidupan rakyat dan membina Malaysia yang boleh dibanggakan bersama.
“Mereka yang menyebarkan kebencian mungkin bising tetapi mereka tidak akan menggagalkan amanah yang telah diberikan kepada saya oleh rakyat Pulau Pinang,” katanya.








