Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik, bukan aktiviti jalan-jalan – Farhan Fauzi

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Setiap lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara bertujuan membawa agenda besar negara dan bukannya aktiviti ‘berjalan-jalan’ seperti didakwa blok pembangkang.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata dakwaan pembangkang bahawa lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tatakelola berminda kecil adalah tidak berasas.

“Hakikatnya, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara.

“Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Farhan, inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Anwar ketika ini membuka ruang luas buat peluang ekonomi baharu di Malaysia.

“Inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin YAB Perdana Menteri telah membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik, antara lain dalam memperluas akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), serta pemeteraian FTA dengan negara-negara EFTA.

“Langkah proaktif Malaysia telah membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang telah diluluskan, iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan yang mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024.

“Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus,” katanya.

Sebaliknya, Farhan turut mengimbas kembali era pentadbiran blok pembangkang yang tidak mempunyai citra negara serta agak mundur.

Beliau mendesak barisan pembangkang untuk mengakui bahawa zaman kepimpinan mereka itu amat tempang, lemah dan ketandusan idea yang diibaratkan seperti ‘seekor belalang di tepi lautan.

Justeru katanya, negara ketika berada di bawah kepimpinan kerajaan Madani, telah menjadikan dunia memandang kembali Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi.

“Pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar kita,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, blok-blok pembangkang yang disifatkan mempunyai minda kecil itu disarankan untuk kembali memahami dan mengenali rakyat dengan lebih baik.

“Rakyat tidak berminda seperti anda. Apatah lagi untuk diperdaya agar termakan dengan permainan herotan persepsi.

“Rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain ‘politik tanpa hikmah’,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat