PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan bahawa kemenangan tanpa bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini bukan hasil perancangan tersusun.
Tetapi katanya, ia mencerminkan sokongan kuat akar umbi serta keabsahan mengikut perlembagaan parti.
“Tohmahan itu tidak berasas dan agak tergopoh-gapah. Parti ini mempunyai sistem dan aturan yang jelas, bukan saya yang membuat keputusan.
“Naratif sebegini dibentuk seolah-olah ingin memberikan gambaran yang buruk terhadap pihak tertentu.
“Saya secara peribadi menganggap itu ialah satu bentuk penghinaan terhadap parti, Biro Politik, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota di bawah ini yang buat keputusan,” katanya dalam siri audio siar (podcast) Sana Sini di Youtube.
Menepis anggapan bahawa kemenangan tanpa bertanding bermakna tiadanya demokrasi dalam parti, Kamil berkata, ia sebenarnya mencerminkan budaya musyawarah yang telah berjaya diterapkan dalam kalangan anggota AMK.
“Ruang pertandingan dalam PKR sentiasa terbuka. Kita tidak pernah menyekat mana-mana individu yang ingin berbakti kepada parti ini,” katanya.
Menurutnya, demokrasi bukan sekadar pertembungan dalam pemilihan tetapi juga melibatkan kemampuan mengurus persetujuan dan membina kesepakatan.
“Dalam konteks ini, anggota sendiri telah memilih pendekatan itu,” jelasnya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025-2028 yang diadakan pada tahun ini bertujuan memberi ruang kepada bakat-bakat baharu walaupun parti telah bersetuju untuk tidak berbuat demikian sebelum ini.
Perkara tersebut didedahkan oleh beliau semasa berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, baru-baru ini.
Kamil turut berkata, perjuangan politik bukan sekadar perebutan jawatan tetapi memerlukan kepimpinan yang berasaskan keteladanan, kerendahan hati dan sikap menghargai semua pihak yang menyumbang kepada parti.
“Kita bukan dibina oleh satu dua kerat pemimpin sahaja.
“Kekuatan parti datang daripada seluruh segmen dan rakyat yang menyokong perjuangan ini. Kita saling melengkapi,” katanya lagi.