Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tidak semua agenda boleh dilaksanakan reformasi dengan segera, misalnya dana politik, reformasi pilihan raya, isu berkaitan media serta hak-hak Sabah dan Sarawak, perumahan, pendapatan serta pembaharuan kos sara hidup, kata penganalisis politik, Dr G Manimaran.
Menurut G. Manimaran, walaupun telah banyak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melontarkan segala penjelasan yang disifatkan berkait pelaksanaan segera reformasi, rakyat kekal membangkitkan tindakan yang lebih tegas serta pantas.

“Meskipun sebab dan alasan yang diberikan oleh PM ada munasabahnya, tetapi sementara negara sudah memasuki tahun ketiga selepas PRU Parlimen 2022, rakyat mengharapkan pelaksanaan komitmen agenda reformasi dan pembaharuan yang dijanjikan.
“Ini kerana kesemua parti dalam Kerajaan Madani memasuki gelanggang pilihan raya dengan janji, tawaran dan manifesto masing-masing,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Kata beliau lagi, tiada satu parti mahupun gabungan besar di arena politik negara yang bertanding kosong tanpa membawa sebarang manifesto dan tawaran kepada rakyat.
Tambahnya, terdapat beberapa perkara besar yang telah Kerajaan Perpaduan laksanakan, antaranya ialah, undang-undang berkaitan taraf kewarganegaraan, penubuhan Majlis Media dan banyak lagi.
Bagaimanapun, rakyat tetap menekankan kemahuan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dalam skala yang besar.
Dilihat dari sudut yang lain, beliau berpandangan Kerajaan Perpaduan kini berada dalam kedudukan yang strategik untuk melaksanakan pembaharuan secara holistik kerana membawa gabungan daripada pelbagai parti dan mandat yang luas.

“Ini masa bagi Kerajaan Perpaduan untuk membawa agenda reformasi dan pembaharuan lebih holistik sebab apabila kita menggabungkan janji, tawaran dan manifesto daripada PH, BN, GRS dan GPS, bermakna kerajaan berada dalam payung lebih besar untuk membawa pembaharuan, bukan menganggap sukar untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama gabungan yang pelbagai,” jelas beliau.
Tambahnya, tahun ketiga mandat pemerintahan perlu dijadikan tahun pelaksanaan reformasi sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang kesukaran menjelang PRU akan datang.
“Tahun ketiga mandat harus dijadikan tahun pelaksanaan pembaharuan, jika tidak akan ada cabaran dalam menghadapi PRU16 (pilihanraya umum ke-16),” katanya.
Baca juga: