Vern’s Holding Sdn Bhd (Vern’s) mengakui isu penjualan kasut tertera logo dakwa mirip kalimah Allah sebagai pengajaran yang tidak ternilai untuk lebih berhati-hati selepas ini.
Pengasasnya, Ng Chuan Hoo ketika ditemui media selepas hadir memberi keterangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada Isnin, mengakui beliau faham isu itu tidak menggembirakan dan mengguris hati umat Islam di negara ini.
Sambil menundukkan kepala, Chuan Hoo yang mahu dikenali sebagai Ah Foo memohon maaf kepada seluruh umat Islam susulan isu yang berlaku.
“Saya faham, (isu ini) tak menggembirakan umat Islam dan JAKIM sudah beri tunjuk ajar. Saya sedia memberi kerjasama penuh dan penjelasan kepada pihak berkuasa,” katanya memetik Berita Harian.
Terdahulu, Ah Foo hadir pada jam 11 pagi untuk memberi keterangan mengenai isu penjualan kasut dikeluarkan syarikatnya yang didakwa tertera logo mirip kalimah Allah pada tapak.
Proses mengambil keterangan berlangsung kira-kira sejam sebelum lelaki berusia 51 tahun itu keluar meninggalkan ibu pejabat JAKIM.
Kata ahli perniagaan itu, pihaknya akan belajar daripada kesilapan yang berlaku dan memberi jaminan akan lebih sensitif pada masa depan.
“Saya nak belajar dari kesalahan ini supaya pada masa depan akan lebih sensitif dan berhati-hati. Kita perlu hormat antara satu sama lain walaupun ini sebenarnya salah faham,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.
Polis mengambil tindakan sedemikian susulan tular foto kasut yang memaparkan logo berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Setakat ini, Razarudin memaklumkan, sebanyak 1,145 pasang kasut jenama syarikat itu dirampas bagi membantu siasatan kes terbabit.
Baca juga: