KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman pertamanya bermain pickleball iaitu sukan raket yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat negara ini.
Lebih menarik, beliau ‘terjebak’ ke gelanggang atas ajakan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Akhirnya terjebak juga main pickleball! ‘First time’ (Pertama kali) main!
“Ni (Ini) semua salah Datuk Lee Chong Wei. Beliau yang ajak saya main,” tulis Tengku Zafrul dalam satu hantaran di Facebook.
Pickleball, yang menggabungkan elemen ping pong, tenis dan badminton ternyata mudah dikuasai oleh mereka yang sudah biasa dengan permainan raket.
Tengku Zafrul sendiri mengakui keseronokan dan keterujaan sukan ini.
“Siapa yang dah biasa permainan raket tak sukar nak main pickleball.
“Pada saya, rasa macam main ping pong pun ya, macam main tennis pun ya,” katanya.
Beliau turut menyatakan keterbukaannya untuk terus bermain sukan tersebut secara santai bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Lepas ni nak main lagi tak? Hmmm, bolehlah nak layan sekali-sekala dengan keluarga dan kawan-kawan,” ujarnya.
Lee Chong Wei sebelum ini turut berkongsi momen mereka bermain pickleball, sambil berseloroh tentang asal-usul nama sukan tersebut yang dikaitkan dengan anjing bernama Pickles.