Inisiatif Kampung Angkat MADANI Subur Harapan, Keselesaan Rakyat

PETALING JAYA: Inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menampakkan hasil apabila pelbagai projek pembangunan asas berjaya disiapkan sepenuhnya di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.

Dalam satu hantaran di Facebook, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi pada Ahad berkata, usaha itu jelas meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Menurut beliau, antara projek yang telah dilaksanakan termasuk kerja baik pulih dan menaik taraf jalan kampung, pembinaan serta naik taraf jalan di pengkalan nelayan, pembinaan jalan pintasan ke kawasan kubur, pembinaan gelanggang futsal berbumbung serta kerja baik pulih Balai Raya Kampung Chengal Lempong.

Lebih menarik lagi katanya, inisiatif itu turut melaksanakan pembinaan baharu gelanggang futsal berbumbung, pembinaan bangunan serbaguna serta membaik pulih 16 buah rumah daif yang memberi manfaat besar kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Sehingga kini, sebanyak 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 83,000 penduduk sekali gus membantu meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan keluarga setempat.

“Semoga usaha pembangunan ini dapat manfaat yang menyeluruh kepada masyarakat setempat. Insya-Allah,” kata beliau.

Pada program serahan dan ramah mesra bersama penduduk Kampung Angkat MADANI itu turut dihadiri oleh Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharuddin Jali serta Ketua Balai Polis Beserah, Inspektor Muzafar Musa.

Anda Mungkin Berminat