PETALING JAYA: Inkues bagi menentukan punca serta sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, akan bermula pada 3 September ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Koroner Azreena Aziz, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes hari ini.
Prosiding dijadual berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September, dengan seramai 195 saksi dikenal pasti untuk dipanggil memberi keterangan.
Peguam keluarga Zara, Hamid Ismail, berkata pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu.
“Jika diluluskan, status kami akan bertukar daripada pemerhati kepada pihak berkepentingan, sekali gus membolehkan kami menyoal saksi yang dipanggil.
“Kami juga memohon agar diberikan semua dokumen yang ada pada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang akan dijadikan bukti. Insya-Allah permohonan itu juga akan diluluskan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai himpunan solidariti untuk Zara, Hamid berkata keluarga menghargai sokongan diberikan tetapi berharap ia tidak dijadikan platform berpolitik.
Pada 13 Ogos lalu, AGC memaklumkan satu inkues akan dijalankan bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara, termasuk meneliti kemungkinan wujud unsur jenayah.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.
Jenazahnya kemudian digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dilakukan susulan dakwaan kejadian buli.
Baca juga: