Inkues Zara Qairina: Pelajar dituduh pindah sekolah selepas kejadian, kata saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini dimaklumkan seorang pelajar yang dituduh dalam kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah berpindah ke sekolah lain, beberapa minggu selepas kematian mangsa.

Perkara itu didedahkan saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, ketika menjawab soalan peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri.

Menurut Azhari, beliau tidak mengetahui alasan sebenar pemindahan pelajar terbabit kerana urusan berkenaan bukan di bawah bidang tugasnya.

“Ya, pelajar A sudah berpindah sekolah. Tetapi pelajar B, C, D dan E masih bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha,” katanya menjawab soalan Shahlan.

Bagaimanapun, katanya, pelajar lain yang turut dituduh masih berada di sekolah berkenaan serta telah dipanggil menghadiri sesi kaunseling selain memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Media sebelum ini melaporkan lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, SMKA Tun Datu Mustapha, antara jam 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat