KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Rabu mendengar keterangan daripada saksi pelajar ke-35 yang mendedahkan bahawa Zara pernah mengadu kepada ibunya mengenai tekanan serta ejekan daripada pelajar senior di sekolahnya.
Saksi, seorang bekas pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustapha, memberitahu mahkamah bahawa kejadian itu berlaku pada Mei lalu ketika minggu peperiksaan pertengahan tahun.
Menurutnya, Zara telah meminjam kad panggilan miliknya untuk menghubungi ibunya, dan dia sempat mendengar perbualan berkenaan.
“Saya dengar Zara beritahu ibunya bahawa ada pelajar senior dan beberapa rakan lain bercakap buruk tentang dirinya,” katanya di Mahkamah Koroner pada Rabu.
Tambah saksi, terdapat pelajar tingkatan dua yang tidak menyukai Zara kerana mangsa gemar mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat.
Saksi juga memaklumkan kali terakhir dia melihat Zara ialah pada 6 Julai 2025 di surau sekolah ketika waktu Zohor, di mana mangsa sedang menjalankan tugas sebagai ahli Badar.
Dalam keterangannya, saksi turut mengimbas kejadian malam sebelum kematian Zara, pada 15 Julai 2025, apabila seorang pelajar menjerit “emergency” selepas dompetnya dilaporkan hilang di aras bawah asrama.
Tidak lama kemudian, pelajar berkenaan mendakwa dompet itu telah dijumpai dan menuduh Zara sebagai pencuri.
“Pada malam sama, saya dengar beberapa pelajar bercakap buruk tentang Zara dan menggelarnya ‘sok-sok Badar’,” katanya.
Prosiding inkues akan bersambung pada Isnin, 17 November 2025.
Baca juga:








