Insiden Rawang: MKN Selangor Tegaskan Proses Undang-Undang Demi Keharmonian

SHAH ALAM: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor menekankan bahawa isu rumah ibadat tidak sah mesti ditangani segera melalui saluran undang-undang bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis serta Pegawai Daerah bagi membincangkan tahap keselamatan awam susulan insiden di Rawang pada Rabu.

“Kejadian di Rawang telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat.

“Ini perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” menurut Amirudin dalam satu kenyataan.

Mesyuarat itu mengenal pasti dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri dan yang dibina di atas tanah persendirian.

Menurut beliau, bagi tanah kerajaan, prosedur sedia ada akan dipertingkatkan dengan pengukuhan SOP Jawatankuasa LIMAS.

Sementara itu katanya, bagi tanah persendirian, pemilik perlu melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang tindakan pengosongan atau perobohan boleh dilakukan.

“MKN turut menetapkan langkah segera bagi pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan.

“Antaranya, laporan polis perlu dibuat untuk membolehkan siasatan dan pendakwaan, notis rasmi dihantar kepada pihak penceroboh serta dimaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) diaktifkan sebagai pengantara bagi mencari penyelesaian munasabah,” katanya.

Sekiranya proses ini gagal, Amirudin berkata, JKD akan menasihatkan supaya pemilik tanah meneruskan tindakan melalui mahkamah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya.

Anda Mungkin Berminat