Institusi Agama, Pondok & Tahfiz Perlu Kuasai Teknologi Dan AI – Anwar

PETALING JAYA: Institusi sekolah agama, pondok dan tahfiz perlu diperkukuh dengan penguasaan ilmu baharu seperti teknologi serta kecerdasan buatan (AI) tanpa mengorbankan asas Turath, disiplin ilmu, nilai dan akhlak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan bahawa langkah itu penting bagi memastikan institusi pendidikan Islam kekal relevan dan berwibawa dalam mendepani perubahan zaman.

“Maka hari ini, institusi sekolah agama dan pondok mesti diperkukuh dengan penguasaan ilmu baharu seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengorbankan akar turath, disiplin ilmu, nilai dan akhlak.

“Agar ia kekal sebagai kubu pembinaan manusia yang relevan dan berwibawa dalam mendepani perubahan zaman,” katanya.

Anwar turut menyeru anak muda yang berminat dalam bidang dakwah atau menjadi mualim agar memahami hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dengan penuh nilai luhur, sesuai dengan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

“Kepada anak-anak yang minat kepada dakwah atau menjadi mualim, saya gesa untuk memahami hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan nilai yang luhur dalam bingkai kepelbagaian di Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu dikongsikan di laman Facebook rasminya selepas beliau menghadiri pertemuan bersama pelajar sekolah tahfiz dan pondok di Majlis Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, Pahang bersama Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperteguhkan syiar Islam dengan memperuntukkan lebih RM2.6 bilion tahun ini bagi memperkukuh pendidikan Islam serta membina ekosistem pendidikan yang berdaya tahan dan bermaruah.

“Ianya bagi menyokong Maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok yang harus kekal menjadi benteng pembinaan sahsiah dan kefahaman ummah,” katanya.

Anwar turut mengingatkan tentang kepentingan menguasai ilmu Turath dan menggali kembali khazanah keilmuan yang membina jati diri umat Islam.

“Tatkala tanah air dijajah, yang dirampas bukan sekadar wilayah dan ekonomi tetapi turut berlaku ‘isti‘mār rūḥī wa fikrī’, yakni penjajahan jiwa dan pemikiran.

“Saat itu, institusi pondok teguh berdiri sebagai benteng mempertahankan iman, ilmu dan jati diri umat daripada hanyut dalam kekaguman terhadap penjajah,” katanya.

Beliau sekali lagi menekankan bahawa anak-anak yang berminat dengan dakwah Islam perlu memahami hikmah serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan nilai luhur dalam kerangka kepelbagaian Malaysia.

Anda Mungkin Berminat