Intel Terus Kukuh Komitmen di Malaysia, Pelaburan Cecah RM50 Bilion

WASHINGTON: Intel Corporation, gergasi teknologi dari Amerika Syarikat, terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan jumlah pelaburan mencecah hampir RM50 bilion sejak mula beroperasi di negara ini pada tahun 1972.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan itu telah mewujudkan lebih 12,300 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang dipercayai.

“Kehadiran Intel sejak lebih lima dekad lalu berkembang seiring kebangkitan Malaysia dalam industri semikonduktor.

“Pertemuan saya bersama pihak pengurusan Intel baru-baru ini membincangkan rancangan pelaburan semula serta pengembangan operasi mereka di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Tengku Zafrul, pertemuan tersebut turut menggambarkan kepercayaan berterusan Intel terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di luar Amerika Syarikat.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia melalui MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited sepenuhnya untuk menyokong peluasan operasi syarikat itu menerusi inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Inisiatif ini akan memperkukuh lagi ekosistem industri berdaya saing dan mampan, seiring matlamat Malaysia untuk muncul sebagai peneraju rantau dalam rantaian bekalan teknologi tinggi,” ujar beliau.

Malaysia kini merupakan antara destinasi pelaburan strategik bagi syarikat multinasional sektor teknologi berikutan kestabilan dasar, tenaga kerja berkemahiran serta infrastruktur industri yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Anda Mungkin Berminat