PERMATANG PAUH: Pelajar Politeknik Seberang Perai kini menikmati capaian internet yang lebih stabil dan berkelajuan tinggi hasil pelaksanaan Projek Wi-Fi IPTA di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Beroperasi sejak 14 Julai lalu, projek itu mula menunjukkan impak positif terhadap pembelajaran dan kehidupan kampus.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, usaha ini selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas ketercapaian digital kepada semua lapisan masyarakat khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.
“Dengan adanya Wi-Fi yang lebih stabil dan menyeluruh, pelajar bukan sahaja dapat belajar dengan lebih efektif, malah kemudahan ini juga menyokong penyelidikan dan pentadbiran kampus,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa pelaksanaan projek ini dipantau secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan semasa warga kampus.
“Kami mahu memastikan internet yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada pelajar.
“Justeru, aspek kualiti dan kebolehpercayaan rangkaian akan sentiasa dipantau,” kata MCMC.
Pihak pengurusan Politeknik Seberang Perai turut menyambut baik inisiatif ini, menyatakan bahawa capaian internet yang lebih baik telah membantu pelajar dalam tugasan dan pembelajaran digital harian.
“Maklum balas yang diterima amat positif kerana kemudahan ini memudahkan tugasan pelajar serta meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka,” kata wakil pengurusan politeknik.
Dalam usaha memperkukuh literasi digital, Fahmi turut meluangkan masa beramah mesra bersama 70 pelajar yang menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) yang sebahagiannya hadir secara dalam talian.
Kempen itu memberi tumpuan kepada isu keselamatan siber seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan dan penyebaran maklumat palsu.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.