Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Program Intervensi membaca, menulis dan mengira (3M) Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan kemajuan dalam membantu murid, namun perlu sokongan tambahan.
Badan bukan kerajaan, Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) berkata keberkesanan program ini bergantung kepada beberapa faktor seperti kualiti guru, sokongan ibu bapa, serta ketersediaan bahan pengajaran yang mencukupi.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, keberkesanan program ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pengesanan awal, intervensi yang berfasa dan sokongan tambahan kepada murid daripada keluarga kurang berpendidikan.

“Namun, bagi meningkatkan hasilnya, KPM perlu menambah guru pemulihan terlatih serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih positif dan produktif.
“Penyediaan infrastruktur, nisbah guru-murid yang lebih ideal, serta bahan pengajaran yang sesuai juga perlu ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Sebagai NGO pendidikan, iGuru berperanan aktif dalam menyokong usaha KPM untuk menangani isu keciciran pembelajaran.
“Sebagai langkah sokongan, iGuru telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam melaksanakan program seperti ‘Oh My Quran’ di Sabah bagi menangani isu literasi Al-Quran,” ujar Mohd Azizee.
Dengan harapan terhadap kurikulum baharu 2027, NGO pendidikan itu yakin usaha bersepadu pelbagai pihak mampu memastikan murid tidak tercicir dalam penguasaan literasi dan numerasi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat memaklumkan seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas 3M.
Murid berkenaan telah mengikuti Program Intervensi Tahun Satu Fasa Satu dan diberi bimbingan secara berfokus melalui pendekatan pengajaran yang lebih intensif dari Julai hingga September lalu.
Baca juga: