IPR-INTAN Putrajaya jana RM1.5 juta, tingkat pendapatan peserta B40

Oleh: Aliyaa Azmi

PUTRAJAYA: Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat iaitu Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya berjaya menjana hasil kira-kira RM1.5 juta, sekali gus menyerlahkan keberkesanan program dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata projek tanaman cili secara fertigasi itu telah menghasilkan lebih 200 tan hasil di kawasan seluas 10 ekar.

“Projek ini yang kini memasuki pusingan kelima telah memberi manfaat kepada 20 peserta dengan purata pendapatan bulanan kira-kira RM3,000,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke projek berkenaan pada Jumaat.

Beliau berkata, pelaksanaan program IPR-INTAN sejak Mac 2023 bukan sahaja membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar menjana pendapatan tambahan, malah menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

“Program ini turut membantu usaha kerajaan memastikan bekalan makanan asas negara kekal stabil dan tidak berdepan gangguan, susulan krisis tenaga global,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini lebih 2,300 peserta telah mendapat manfaat melalui hampir 60 projek di seluruh negara, selain didedahkan dengan kemahiran dalam keseluruhan rantaian pertanian termasuk semaian, penanaman, penuaian dan pemasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek di Putrajaya itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Putrajaya (PPj), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) serta Nestlé Malaysia.

“Nestlé Malaysia turut menyokong dari segi pembelian hasil dan amalan pertanian mampan yang membantu meningkatkan kesihatan tanah serta menjimatkan penggunaan input,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara, termasuk mempergiat pengeluaran tempatan dan pertanian di rumah.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, menstabilkan harga barangan dan menangani kos sara hidup,” katanya.

Bagi tahun 2026, beliau berkata Kementerian Ekonomi bersetuju melaksanakan 20 projek baharu IPR-INTAN yang akan memberi manfaat kepada 600 peserta tambahan.

“Di Putrajaya, projek ini akan diperluas dengan penambahan 20 peserta lagi, menjadikan keseluruhan 40 peserta,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat