TEHRAN: Selepas memasuki fasa gencatan senjata antara Israel dan Iran, kerajaan Iran kini membuka semula ruang udaranya kepada penerbangan antarabangsa yang ingin melintasi negara itu.
Jurucakap Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar Iran, Majid Akhavan berkata, langkah itu dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pembukaan semula ruang udara di bahagian tengah dan barat Iran.
“Sebelum ini, ruang udara di bahagian timur negara sudah beroperasi dan digunakan bagi penerbangan domestik serta antarabangsa.
“Kini, kawasan tengah dan barat turut dibuka, namun hanya bagi penerbangan lintas udara,” katanya.
Bagaimanapun, operasi keluar masuk penerbangan di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran masih digantung.
“Warga negara diminta untuk tidak mengunjungi lapangan terbang di kawasan utara, selatan dan barat Iran sehingga makluman lanjut.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk hanya kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini,” ujarnya.
Langkah itu menyusuli keputusan Iran membuka semula ruang udara timurnya pada Rabu lalu, sejurus selepas tercapainya persetujuan gencatan senjata yang menamatkan konflik selama 12 hari dengan Israel.
Terdahulu, Iran menutup sepenuhnya ruang udaranya pada 13 Jun lalu susulan serangan udara oleh Israel, yang kemudian dibalas dengan pelancaran peluru berpandu oleh Iran.