TEHRAN: Iran menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan atau perbincangan dengan Donald Trump sejak tercetusnya konflik semasa, sekali gus menafikan dakwaan pemimpin Amerika Syarikat itu yang sebelum ini menyatakan kedua-dua negara telah mengadakan “perbualan yang sangat baik dan produktif” ke arah penyelesaian menyeluruh di Timur Tengah.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Pertahanan Nasional Iran memberi amaran bahawa sebarang cubaan menyerang pesisir atau pulau negara itu akan menyebabkan semua laluan komunikasi di Teluk Parsi dipasang periuk api. Amaran itu dikeluarkan ketika tarikh akhir yang ditetapkan Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz berakhir pada Isnin (waktu Malaysia).
Sementara itu, ketegangan di rantau tersebut terus memuncak apabila tentera Israel dilaporkan memusnahkan Jambatan Qasimiyah yang merentasi Sungai Litani, laluan penting keluar dari selatan Lubnan. Presiden Lubnan, Joseph Aoun, menyifatkan serangan itu sebagai “petanda awal pencerobohan darat”.
Dalam perkembangan lain, Ketua Perbadanan Nuklear Negara Rusia, Alexei Likhachev, memaklumkan pihaknya akan memindahkan lebih ramai pekerja dari loji tenaga nuklear di Bushehr yang dibina Rusia, namun masih mengekalkan sebahagian kecil kakitangan di situ.
Menurutnya, daripada kira-kira 480 pekerja sebelum ini, hanya beberapa puluh akan kekal selepas proses pemindahan minggu ini. Minggu lalu, beliau melaporkan satu serangan berlaku berhampiran reaktor nuklear yang sedang beroperasi, namun tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, turut menggesa Amerika Syarikat agar tidak menyerang loji berkenaan kerana ia boleh mencetuskan akibat “tidak dapat diperbaiki”.
Dalam pada itu, satu letupan kuat dilaporkan kedengaran di Baitulmaqdis susulan amaran peluru berpandu dari Iran. Tentera Israel memaklumkan mereka mengesan pelancaran peluru berpandu dan sedang berusaha memintas ancaman tersebut.
Baca juga:








