TEHRAN: Ketegangan serantau terus memuncak apabila Iran menolak mentah-mentah cadangan rundingan gencatan senjata selagi serangan oleh Israel masih berterusan.
Menurut laporan The Daily Star, pendirian tegas itu disampaikan oleh seorang pegawai Iran yang enggan dinamakan kepada perantara diplomatik dari Qatar dan Oman pada Ahad.
Pegawai itu menyatakan bahawa Teheran hanya akan mempertimbangkan rundingan secara serius selepas menyempurnakan “tindak balas balas” terhadap serangan pra-emptif Israel.
“Iran menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan berunding selagi serangan masih berlaku,” katanya.
Serangan mengejut oleh Israel pada pagi Jumaat lalu dilaporkan mengorbankan sebahagian besar barisan tertinggi tentera Iran dan menyebabkan kerosakan ketara ke atas beberapa fasiliti nuklear negara itu.
Israel pula menyatakan bahawa kempen ketenteraannya akan ‘diperhebat’ dalam beberapa hari mendatang.
Sebagai tindak balas, Iran mengeluarkan amaran keras bahawa mereka akan “membuka pintu neraka”, satu ancaman yang menurut pemerhati antarabangsa mencerminkan skala konfrontasi terburuk dalam sejarah konflik panjang antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan terkini, beberapa serangan baharu oleh Israel menyasarkan lokasi strategik seperti fasiliti pertahanan di Isfahan serta kilang elektronik di Shiraz.
Rejim Tel Aviv juga memberi amaran kepada rakyat Iran supaya menjauhi kawasan berhampiran kilang pengeluaran senjata, mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan berskala lebih besar ke atas infrastruktur awam.
Dengan medan diplomatik semakin sempit dan ketenteraan semakin agresif, masa depan rantau ini tampak kian rapuh.








