Iran ugut sasar Apple, Google dan Meta jika pemimpin dibunuh

TEHRAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran memberi amaran akan menyasarkan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat termasuk Apple, Google dan Meta sekiranya lebih ramai pemimpin negara itu terbunuh dalam serangan yang didakwa sebagai pembunuhan bersasar.

Dalam satu kenyataan, pasukan itu mendakwa sebanyak 18 syarikat teknologi Amerika terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam operasi yang menyasarkan pegawai kanan Iran.

“Kami memberi amaran bahawa syarikat terbabit perlu bersedia menghadapi tindakan balas bagi setiap pembunuhan yang berlaku di Iran,” menurut kenyataan itu dipetik South China Morning Post.

Senarai syarikat yang berisiko turut merangkumi Microsoft, Nvidia, Tesla, Oracle dan Palantir Technologies.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran turut mendakwa syarikat teknologi berkenaan memainkan peranan dalam merancang serta menjejak sasaran pembunuhan, selain mengabaikan amaran sebelum ini.

Mereka juga menggesa pekerja syarikat terbabit meninggalkan tempat kerja masing-masing sebagai langkah keselamatan.

Ancaman itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat terus memuncak, walaupun Donald Trump dilaporkan sedang mengusahakan rundingan bagi meredakan konflik di samping memberi amaran tindakan lebih tegas terhadap Iran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat